Pada musim sejuk 2013 yang lalu kami telah sekali lagi mendapat jemputan dari Yang Maha Esa untuk bertamu ke Tanah Suci Mekah dan Madinah bersama satu rombongan umrah dari negeri Johor. Rombongan ini dijadualkan berangkat dari Johor Baharu dengan menaiki bas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura. Jumlah keseluruhan ahli jemaah adalah seramai 43 orang yang terdiri daripada 6 buah keluarga besar dan beberapa pasangan suami isteri dan anak mereka.
Dalam rombongan tersebut, saya bertemu dengan keluarga En Samad (bukan nama sebenar) bersama isteri dan 3 orang anak perempuan mereka. Keluarga ini kelihatan sangat girang sambil bersip sedia mempersiapkan diri mereka untuk berangkat. Tergambar keriangan di wajah mereka kerana inilah kali pertama mereka akan menjejakkan kaki ke tanah suci.
Sambil menyusun beg kedalam ruang simpanan, En Samad tersenyum lebar dan menyapa: "Assalamualaikum ustaz. Kami pergi satu keluarga seramai 5 orang dan ini adalah kali pertama kami akan berangkat ke Mekah." sambil mengisyaratkan jarinya kearah keluarga mereka yang sedang berkumpul bersama sanak saudara yang hadir untuk mengucapkan selamat tinggal.
"Alhamdulillah, semoga Allah swt mempermudahkan urusan kita di sepanjang perjalanan dan diberikan kesihatan serta kekuatan untuk mengerjakan ibadah di sana. In shaa Allah." balas saya tersenyum. Kami pun terus mempersiapkan diri untuk menaiki bas dan bersalam-salaman sesama rombongan dan ahli keluarga."
Selesai sahaja pengagihan segala dokumen perjalan, bas kami pun bertolak menuju Singapura. Proses untuk sampai ke Lapangan Terbang mengambil masa sekitar 2 jam hingga 3 jam bergantung kepada keadaan jalanraya dan urusan di kaunter imigresyen.
Sampai sahaja di check point kastam dan imigresyen Malaysia, kami dikehendaki turun daripada bas untuk pemeriksaan dan pengimbasan passport. Segalanya berjalan dengan sempurna kecuali keluarga En Samad di mana pegawai imigresyen mendapati bahawa visa yang tertampal pada pasport isteri En Samad dan anak perempuan mereka yang sulung telah tertukar mungkin kerana wajah mereka sangat seiras. Sebenarnya visa yang terdapat pada passport si Ibu adalah kepunyaan si anak dan vise versa. Pegawai tersebut menasihatkan agar melaporkannya kepada pejabat pengurusan syarikat dan meminta nasihat mereka.
Kakitangan syarikat yang bertugas telah menyakinkan bahawa kesilapan ini biasa berlaku di pihak kedutaan Arab Saudi. Kes yang sama juga pernah berlaku berulang kali dan oleh kerana pihak yang terlibat adalah antara Ibu dan anak yang ada pertalian keluarga, pihak imigresyen Arab Saudi pada kebiasaannya akan memberi kelonggaran kepada jemaah terbabit untuk meneruskan perjalanan.
Setelah itu, kami segera menaiki bas dan meneruskan perjalanan untuk ke imigresyen check point di pihak kerajaan Singapura. Kali ini kami dikehendaki membawa turun semua beg-beg kami untuk diimbas dan diperiksa. Alhamdulillan, segalanaya berjalan dengan lancar termasuk peroses imbasan passport semua anggota rombongan kami berjalan dengan baik.
Setelah itu kami sekali lagi menaiki bas untuk terus mehuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi. Oleh kerana kami sampai mengikut jadual, kami terus menuju ke kaunter penerbangan Qatar Airways untuk urusan checkin.
Sekali lagi kami terpaksa menyerahkan passport kami untuk pemeriksaan pihak penerbangan untuk persiapan kemasukan bagasi dan penyediaan pas masuk penerbangan. Namun begitu, nasib tidak menyebelahi keluarga Encik Samad kerana sekali lagi pihak penerbangan telah mendapati visa isteri dan anak perempuannya yang tertukar. Setelah perbincangan dan rayuan, pihak penerbangan berkeras untuk tidak membenarkan kedua-dua ibu dan anak untuk menaiki pesawat penerbangan mereka. Alasan mereka adalah kerana mereka tidak mahu dikenakan denda kerana membawa penumpang yang tidak mempunyai visa masuk yang sah ke dalam negara Arab Saudi.
Akhirnya En. Samad memutuskan untuk satu keluarga tiadak sama-sama pergi meneruskan perjalanan mereka memandangkan salah seorang anak bongsu mereka tidak mahu berpisah dengan ibunya. Mereka sangat pasrah dengan takdir yang telah ditentukan Allah swt ini dan percaya ada hikmah yang terselindung disebaliknya. Kami semua berpelukan mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga En. Samad dan ianya diiringgi dengan linangan airmata oleh semua ahli rombongan kami.
Kami meninggalkan keluarga En. Samad yang terpaksa pula menunggu pengankutan pulang ke Johor Baharu yang telah diuruskan oleh syarikat. Sambil melambai, kami sangat insaf betapa perancangan Allah swt lebih dari segala-galanya dan Allah swt berhak untuk menetapkan tempoh masa yang sesuai menerima para tetamu-Nya.
Maha Suci Allah yang telah merancang segala-galanya, selesai sahaja jadual kami menziarahi Kota Madinah dan berangkat ke Kota Mekah pada hari keempat. Apabila sampai sahaja di Lobi Hotel, kami telah dikejutkan dengan satu senyuman lebar yang sebelum ini pernah kami lihat.
Rupa-rupanya En. Samad dan keluarganya telah sampai ke Kota Mekah lebih awal daripada rombongan kami. En. Samad pada ketika itu telah selesai menunaikan ibadah Umrah yang kedua dan sedang bersiap sedia untuk mengerjakan umrah yang seterusnya. Mereka dijangka berangkat ke Kota Madinah dalam tempoh masa berapa hari lagi. Mereka sekeluarga telah selesai menunaikan Ibadah Umrah dengan selamat dan lancar.
Menurut En. Samad, setelah meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi menggunakan limosin milik syarikat, mereka terus dibawa ke KLIA untuk menyertai satu lagi rombongan umrah yang berangkat dari sana. Segala urusan imigresen dan penerbangan telah berjalan dengan lancar. Subhanallah!
Menurut En. Samad, setelah meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi menggunakan limosin milik syarikat, mereka terus dibawa ke KLIA untuk menyertai satu lagi rombongan umrah yang berangkat dari sana. Segala urusan imigresen dan penerbangan telah berjalan dengan lancar. Subhanallah!
“Hasbunallah wani’mal-wakîl, ni’mal-mawlâ, wani’man-nashîr" - "Cukuplah Allah tempat berserah diri bagi kami, sebaik-baik pelindung kami, dan sebaik-baik penolong kami".