Rombongan kami baru sahaja tiba ke lobi hotel di Kota Madinah apabila berita kehilangan seorang jemaah warga emas heboh diperkatakan dikalangan jemaah dan petugas-petugas syarikat di Madinah. Peristiwa kehilangan ini berlaku semasa musim umrah tahun 2014.
Kami mengambil kesempatan untuk memperingatkan para jemaah rombongan agar mendengar betul-betul taklimat yang akan kami sampaikan agar semua jemaah dapat memahami serta mengenal pasti lokasi hotel penginapan kami. Kejadian jemaah yang hilang sering berlaku ketika berada di Tanah Suci Mekah dan Madinah terutamanya yang melibatkan jemaah warga emas.
Kami dikhabarkan bahawa Pak Yaakob (bukan nama sebenar) sudah tiga hari tidak pulang ke hotel semenjak malam pertama rombongan mereka sampai di Kota Madinah. Beliau keluar untuk solat di Masjid Nabawi tanpa membawa sebarang dokumen pengenalan diri atau Kad Hotel. Pak Yakob adalah berusia lingkungan 70an telah keluar bersendirian untuk solat di Masjid Nabawi.
Dalam rombongan umrah mereka, Pak Yaakob tidak ditemani oleh sesiapa di kalangan kaum keluarganya kerana Isteri dan anak-anak beliau tidak dapat pergi bersama beliau kerana kekangan masa dan kewangan. Menurut jadual yang telah disediakan oleh pihak syarikat, rombongan tersebut sepatutnya berangkat ke Kota Mekah untuk mengerjakan umrah pada hari berikutnya.
Setelah puas mencari di merata tempat termasuk sekitar Masjid Nabawi, kedai-kedai dan hotel-hotel di seluruh tempat, rombongan Pak Yaakob terpaksa meneruskan perjalanan ke Kota Mekah mengikut sepertimana yang telah dijadualkan. Dalam perkara ini, kami yang berada di sana bersedia untuk mengambil alih tanggungjawab untuk terus menjejaki Pak Yaakob dan mengambil tindakan yang sewajarnya jika berlaku sebarang perkembangan.
Pada keesokkan harinya peristiwa kehilangan Pak Yaakob luput dari ingatan kami seketika kerana sibuk dengan aktiviti-aktiviti ziarah dan urusan rombongan kami. Setelah selesai mendirikan solat maghrib dan sebagaimana biasa, kami para petugas akan berkumpul di lobi hotel bagi menguruskan hal-ehwal jemaah rombongan kami yang seramai kira-kira 170 orang semuanya.
Ketika kami sibuk berbincang diluar pintu hotel, tiba-tiba kami telah dihampiri dan disapa oleh seorang lelaki yang bertubuh agak tinggi dan berumur dalam lingkungan 70an tetapi masih cergas. Dengan nada biasa, beliau memperkenalkan diri sebagai Pak Yaakob yang pergi bersama rombongan dari utara tanah air. Masya Allah, kami baru teringat semula tentang peristiwa kehilangan jemaah warga emas.
Kami terus menyambut Pak Yaakob dan menghantar beliau ke bilik hotel untuk membersihkan diri dan menukar pakaian. Oleh kerana beg pakaian Pak Yaakob telah dibawa ke Mekah bersama rombongan beliau, salah seorang petugas syarikat telah membelikan pakaian jubah untuk Pak Yaakob.
Kami sangat bersyukur kerana Allah swt telah menemukan kami dengan Pak Yaakob. Seterusnya kami membawa beliau menyertai rombongan kami dalam perjalanan ke Kota Mekah untuk mempertemukan semula rombongan Pak Yaakob yang telah berada di sana.
Bagaimana Pak Yaakob masih terselamat sihat walafiat walaupun setelah hilang selama lebih 4 hari, bagaimana beliau boleh pulang semula ke hotel bersendirian dan apakah yang telah berlaku pada Pak Yaakob sepanjang kehilangannya? Kami sempat merakamkan kisah beliau dan akan dikongsikan dalam Kisah Pak Yaakob di Masjid Nabawi.
Kisah Pak Yaakob di Masjid Nabawi: