Selesai sahaja mendirikan solat fardhu Isyak di Masjid Nabawi, saya turut sama mendirikan solat sunat jenazah bersama-sama imam dan jemaah-jemaah lain. Kemudian menyambung dengan mendirikan solat sunat ba'diah Isyak. Pak Yaakob yang berada di sebelah saya juga telah selesai menunaikan solat sunat dan bersiap-siap untuk keluar.
Kami bersalaman dan bergerak bersama untuk mengambil selipar di rak kasut yang tersedia di dalam masjid. Sebelum daripada itu, saya sengaja meletakkan selipar berhampiran dengan selipar Pak Yaakob agar memudah untuk memantau kedudukan Pak Yaakob agar tidak hilang sekali lagi. Sebelum ini saya berpesan kepada beliau agar tidak ke mana-mana tanpa memberitahu saya terlebih dahulu. Pak Yaakob akur dan memaklumkan kepada saya untuk masuk ke tandas yang ada di laluan perjalanan untuk mengambil wudhu' sebelum masuk ke dalam masjid.
Dalam perjalanan pulang dari masjid, saya sempat bertanyakan Pak Yaakob berkenaan latar belakang dan keluarga beliau.
Pak Yaakob adalah merupakan seorang nelayan yang tinggal di kampung yang terletak di utara tanah air. Pekerjaan seharian Pak Yaakob adalah menangkap ikan dan juga berkebun di tanah warisan keluarga yang berhampiran dengan rumah beliau. Memandangkan gaya hidup Pak Yaakob yang aktif dan sentiasa menggunakan banyak tenaga, maka tidak hairanlah Pak Yaakob kelihatan lebih sihat serta lebih aktif berbanding dengan jemaah-jemaah lain yang seusia dengannya.
Aktiviti hariannya di kampung halaman juga memerlukan penggunaan tenaga yang banyak. "Pakcik dah biasa sangat jalan kaki dari rumah untuk pergi ke pekan membeli barang keperluan harian. Jaraknya pun lebih jauh daripada ini ustaz." Jelas Pak Yaakob sambil tersenyum apabila saya bertanyakan samada dia masih mampu untuk berjalan dan memerlukan pertolongan. Dari segi bentuk fizikalnya dan gaya pergerakkannya, sudah jelas yang Pak Yaakob tidak memerlukan sebarang pertolongan.
Mengikut Pak Yaakob, pemergiannya ke Tanah Suci adalah tanpa kerelaan dan pengetahuan beliau sendiri. Pakej umrah yang diikuti beliau adalah merupakan hadiah hari jadi yang diberikan oleh anak bongsu kesayangannya. Khabar pemergiannya ke tanah suci adalah merupakan satu kejutan dan ianya hanya diketahui selang beberapa minggu sebelum berangkat.
Pada mulanya Pak Yaakob berkeras untuk tidak mahu pergi dan menolak pemberian hadiah anaknya itu atas alasan tidak bersedia dan belum terbuka hati. Namun setelah didesak dan dipujuk oleh ahli keluarganya, Pak Yaakob akhirnya akur dan gigih mempersiapkan kelengkapan perjalanan serta mengikuti kursus umrah yang dikelolakan oleh syarikat umrah.
Usaha anak bongsu Pak Yaakob yang mahu melihat ayahnya menunaikan Umrah hasil dari titik peluhnya sendiri sangatlah dikagumi. Mungkin kerana anak Pak Yaakob ini ingin membalas jasa yang telah
dicurahkan oleh bapanya dalam membesarkan dan mendidik anak-anaknya sehingga dewasa
dan berjaya. Dikahabarkan bahawa anak perempuan Pak Yaakob ini sering balik ke kampung halaman dari Kuala Lumpur untuk menjenguk ibu dan ayahnya.
Pak Yaakob tidak banyak bercerita berkenaan anak perempuannya itu tetapi daripada maklumat ini, saya yakin anaknya adalah merupakan seorang yang sangat taat dan kasih kepada kedua orang tuanya. Pak Yaakob adalah merupakan seorang bapa yang bertuah kerana mempunyai anak seperti ini. Masya Allah.
Saya berfikiran sendirian alangkah kecewanya anak bongsu Pak Yaakob seandainya kehilangan ayahnda tercinta bertukar kepada perkara-perkara yang tidak diingini. Seringkali terjadi kisah kehilangan jemaah-jemaah Haji dan Umrah sebelum ini diakhiri dengan berita pemergian yang tidak akan kembali.
Semoga hidup mereka sekeluarga akan sentiasa diberkati Allah swt.
Saya berfikiran sendirian alangkah kecewanya anak bongsu Pak Yaakob seandainya kehilangan ayahnda tercinta bertukar kepada perkara-perkara yang tidak diingini. Seringkali terjadi kisah kehilangan jemaah-jemaah Haji dan Umrah sebelum ini diakhiri dengan berita pemergian yang tidak akan kembali.
Semoga hidup mereka sekeluarga akan sentiasa diberkati Allah swt.
Nota:
- Kisah ini adalah sambungan dari tajuk - "Misteri Kehilangan Jemaah Warga Emas"
- Ikuti kisah Pak Yaakob seterusnya dalam - "Pengalaman Misteri di Masjid Nabawi" sebelum ditemui semula.